Sunday, December 30, 2012

Biografi Diri (Err... boleh ke buat assignment cam ni?)

Nama saya Kherun Suhaila binti Saharbil. Saya berasal dari Negeri Sembilan tapi sebelum lahir lagi dah menetap di Kuala Lumpur. Maksud saya, mak dan arwah abah saya lah. Tapi, kaum keluarga masih ramai menetap di Negeri Sembilan. Nasib baik, kan… Kalau tidak, mungkin saya dah lupa asal usul saya…. Gurau saja.

PERINGKAT BAYI
Saya dilahirkan pada 18 Julai 1974 di Hospital Besar Seremban. Mak kata, pada asalnya beliau dimasukkan ke Hospital Kuala Pilah, tetapi disebabkan mak mengalami sedikit komplikasi atau dengan kata lain, saya susah sikit nak keluar, maka mak pun dikejarkan ke Hospital Besar Seremban dengan menaiki ambulan. Akhirnya, saya selamat dilahirkan dengan sedikit kecacatan. Terkejut tak baca? Bukan cacat apapun. Sebenarnya, disebabkan saya susah nak dikeluarkan, maka doktor telah menggunakan `forcep’ semasa prosedur dilakukan. Makanya, adalah sedikit tanda melekat pada sisi mata kiri saya.

PERINGKAT KANAK-KANAK
Lepas tu, saya pun tak tahu apa yang terjadi sebab tak ingat. Tahu-tahu, saya dah besar… dan mendiami kawasan setinggan di Kampung Dato’ Keramat, Kuala Lumpur. Bila dikenang-kenang kembali (setelah dewasa), betapa susahnya hidup pada masa tersebut. Tapi, disebabkan masih kecil, saya tidak begitu faham.

Salah satunya, tiada bekalan air dan letrik. Mak terpaksa berjaga malam / pagi sebab menunggu giliran untuk ambil air (biasanya giliran kami pukul 3 pagi). Arwah abah tidak boleh berjaga sebab esoknya dia perlu bekerja. Letrik dibekalkan dengan menggunakan generator, hanya dari pukul 7 malam ke 7 pagi. Mahal pulak tu (RM20 sebulan). Bilik air, berdindingkan zink yang sedikit berlubang dan beratapkan langit. Jika hendak ke mana-mana, perlu menaiki kenderaan awam tapi bukan teksi sebab mahal. Bila nak balik kampung masa Hari Raya, kami selalu kena beratur panjang mengelilingi Pudu Raya untuk menaiki bas SKS ke Seremban. Penat.

Masa kecil, saya jarang dapat menikmati makanan kegemaran saya iaitu kek, coklat atau minum susu coklat… dan tak pernah mimpi nak duduk hotel atau menaiki kapal terbang atau pergi bercuti, apa lagi ke luar negara. Yang saya ingat sampai sekarang, mak akan memantau dengan ketat waktu belajar saya. Jika hendak keluar bermain, perlu mematuhi syarat iaitu hafal sifir sekian-sekian terlebih dahulu, atau hafal lain-lain perkara dan mak akan soal semula. Jika lulus, barulah saya dibenarkan keluar bermain. Terima kasih mak, kalau tidak…. tak tahulah saya jadi apa sekarang ni.

Saya tiada adik beradik lain. Sayalah yang sulung, sayalah yang bongsu. Tapi saya bukanlah intan payung mak dan arwah abah. Selalu aje kena marah. Saya selalu rasa bosan sebab tiada adik beradik. Makanya, setiap kali cuti sekolah, saya akan tinggal di rumah saudara mara saya.

Saya memulakan persekolahan di sebuah tadika kemas di kawasan setinggan tersebut. Yang paling saya ingat sekali, seorang budak lelaki bernama Azry sangat suka tarik rambut saya yang panjang. Nakal sungguh dia. Tapi, alhamdulillah… sekarang dia tak nakal dah…. Dah jadi orang tabligh.. J

PERINGKAT KANAK-KANAK PERTENGAHAN
Saya bersekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Kampung Dato’ Keramat (2), sebuah sekolah yang kecil dan padangnya pun sangat kecil. Alhamdulillah, disebabkan kawalan ketat mak terhadap pelajaran saya, saya sentiasa berada di kelas pertama setiap tahun.

Ada beberapa orang cikgu yang masih kekal dalam ingatan saya. Seorang cikgu yang melayan saya seperti anaknya, seorang cikgu yang pilih kasih terhadap murid-muridnya, seorang cikgu wanita yang tidak berpuasa di bulan puasa dengan alasan gastrik (tetapi dia tidak makan sorok-sorok), seorang guru lelaki yang suka suruh saya buat itu dan ini, seorang guru Bahasa Inggeris yang garang dan seorang ustazah yang suka cakap `ye ke?’.

Arwah abah juga seorang yang `strict’. Saya tidak dibenarkan langsung untuk keluar bersama kawan-kawan, malahan mohon keluar ke Perpustakaan Negara pun tak boleh. Bila dewasa dan memiliki anak sendiri, baru saya faham kenapa arwah abah bersikap sedemikian. Yang paling bagus pun, saya dibenarkan mengikuti rombongan sekolah ke Tugu Negara, Muzium Negara, Zoo Negara dan Selangor Pewter. Itulah, sekali.

Selepas berakhirnya persekolahan darjah 6, sekolah ada menganjurkan lawatan ke Pulau Pinang dan saya sangat teruja untuk mengikutinya. Tetapi, sebagaimana yang dijangkakan, arwah abah tidak membenarkan saya pergi. Ketika itu, saya sungguh berjauh hati kerana saya tidak pasti bila lagi dapat bersama-sama lagi dengan kawan-kawan sekolah rendah. Ini kerana, saya akan berpindah ke rumah yang lebih sempurna di Wangsa Maju. Ini bermakna saya juga tidak akan bersekolah menengah bersama-sama mereka lagi. Tapi, saya anak yang baik dan menurut perintah. Saya redha dalam kesedihan….

PERINGKAT REMAJA
Saya berpindah ke Wangsa Maju pada penghujung tahun 1986. Rasa sangat seronok kerana sudah ada bilik sendiri, bekalan air dan letrik yang sempurna, bilik air berdinding dan beratapkan batu, tetapi masih menggunakan kenderaan awam untuk ke mana-mana. Saya menyambung persekolahan di Sekolah Menengah Puteri Titiwangsa dan perlu menaiki bas untuk ke sekolah.

Selepas keputusan SRP diumumkan, saya bersekolah di Sekolah Menengah Sains Teluk Intan. Waaaahhhh… seronok sungguh rasanya sebab saya dikelilingi ramai kawan. Alhamdulillah, saya tiada masalah untuk menyesuaikan diri dan sahabat-sahabat baru juga semuanya baik-baik.

Sementara menunggu keputusan SPM, saya bekerja sebagai guru taska, bertanggungjawab untuk menguruskan bayi berumur 4 bulan sehingga kanak-kanak berumur 5/6 tahun. Haaa… jangan ingat saya anak tunggal, tak mampu untuk menguruskan mereka. Apabila keputusan SPM diumumkan, saya berhenti kerja dan mula mengisi borang kemasukan ke universiti-universiti tempatan.

Saya mengikuti kursus Diploma in Banking di ITM Melaka pada tahun 1992. Alhamdulillah, keputusan peperiksaan memberangsangkan dan saya telah ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran di luar negara. Arwah abah izinkan saya pergi tetapi saya lebih suka melanjutkan pelajaran di ITM juga. Maklumlah, ITM dihatiku… J. Akhirnya, saya meneruskan pengajian di UiTM Shah Alam, kursus Kewangan.

PERINGKAT DEWASA AWAL
Sebaik sahaja menamatkan peperiksaan akhir (iaitu pada Mei 1997) saya mendapat tawaran pekerjaan di beberapa buah syarikat. Saya memilih untuk bekerja sebagai pegawai pemasaran dan kredit di sebuah syarikat Jepun, iaitu Showa Leasing (M) Sdn. Bhd. Kenapa saya memilih syarikat tersebut? Sebab syarikat itu tidak bekerja pada hari Sabtu (pada masa dahulu, Sabtu juga merupakan hari bekerja). Rasa bersyukur sangat sebab saya masih diberi peluang untuk bekerja walaupun ekonomi Malaysia dalam keadaan yang sangat gawat ketika itu.

Sebaik mendapat pekerjaan, saya telah melangsungkan perkahwinan dengan jejaka pilihan hati, Muhammad Suhaimi bin Baharuddin pada 2 Ogos 1997. Selepas bekerja dan berkahwin, barulah saya menikmati sesuatu yang tidak pernah saya mimpikan dahulu…. Makan kek, coklat dan minum susu coklat sesuka hati, duduk di hotel dan menaiki kapal terbang, pergi bercuti dalam dan luar negara. Syukur, alhamdulillah. Semasa kandungan pertama berusia 7 bulan, arwah abah telah pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya. Arwah tak sempat melihat cucu sulungnya.

Dengan keadaan ekonomi dunia yang semakin lama semakin gawat, akhirnya syarikat Jepun tempat saya bekerja terpaksa melaksanakan retrenchment. Syarikat sudah berhenti dari menjalankan aktiviti utamanya (iaitu memberikan pinjaman melalui kaedah leasing dan hire purchase) dan hanya fokus pada credit collection sahaja. Maka, perkhidmatan saya tidak lagi diperlukan dan akhirnya saya berhenti setelah 4 tahun bekerja di situ.

Walau bagaimanapun, saya memang kagum dengan pihak pengurusan Showa kerana mampu bertahan dalam tempoh yang lama dan tidak pernah lewat membayar gaji pekerja. Beberapa cawangan di luar negara sudah lama memberhentikan operasi kerana menerima kesan yang teruk. Saya menganggur selama 2 tahun dan dalam pada itu, dikurniakan seorang lagi cahayamata perempuan pada 12 Mac 2002. 13 November 2004, kami dikurniakan cahayamata ketiga (yang juga perempuan).

Alhamdulillah, saya mendapat pekerjaan di Lembaga Akreditasi Negara (LAN) pada Februari 2003 yang kini dikenali dengan nama Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). Saya bertugas sebagai Pengurus Akreditasi yang bertanggungjawab untuk memproses permohonan Keluusan, Standard Minimum dan Akreditasi. Setelah 5 tahun, saya bertukar ke Unit Latihan (untuk tempoh 2 tahun) dan seterusnya bertugas di Unit Perkhidmatan dan Perjawatan sehingga kini. Di sinilah tempat saya mencari rezeki ketika ini. Bulan Februari 2013 nanti, genaplah perkhidmatan saya 10 tahun di MQA.

Pada tahun 2011, saya telah mendapat tawaran Hadiah Latihan Persekutuan untuk menyambung pelajaran di peringkat Sarjana. Syukur ke hadrat Ilahi ke atas rezeki yang dikurniakan. Saya telah diluluskan Cuti Belajar Bergaji Penuh sepanjang tempoh pengajian.

“Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?” – Ar Rahman, ayat 13.

2 comments:

ANA FARHA said...

salam.

Kak Kherun.. salam takziah atas kepulangan ibu tersayang ke rahmatullah.. semoga arwah ibu ditempatkan bersama umatNya yang beriman..

Kherun said...

Aameen ya rabbal al-ameen... Thanks Farhanah..