PERINGKAT
BAYI
Saya dilahirkan pada 18 Julai 1974 di
Hospital Besar Seremban. Mak kata, pada asalnya beliau dimasukkan ke Hospital
Kuala Pilah, tetapi disebabkan mak mengalami sedikit komplikasi atau dengan
kata lain, saya susah sikit nak keluar, maka mak pun dikejarkan ke Hospital
Besar Seremban dengan menaiki ambulan. Akhirnya, saya selamat dilahirkan dengan
sedikit kecacatan. Terkejut tak baca? Bukan cacat apapun. Sebenarnya,
disebabkan saya susah nak dikeluarkan, maka doktor telah menggunakan `forcep’
semasa prosedur dilakukan. Makanya, adalah sedikit tanda melekat pada sisi mata
kiri saya.
PERINGKAT
KANAK-KANAK
Lepas tu, saya pun tak tahu apa yang terjadi
sebab tak ingat. Tahu-tahu, saya dah besar… dan mendiami kawasan setinggan di
Kampung Dato’ Keramat, Kuala Lumpur. Bila dikenang-kenang kembali (setelah
dewasa), betapa susahnya hidup pada masa tersebut. Tapi, disebabkan masih
kecil, saya tidak begitu faham.
Salah satunya, tiada bekalan air dan letrik.
Mak terpaksa berjaga malam / pagi sebab menunggu giliran untuk ambil air
(biasanya giliran kami pukul 3 pagi). Arwah abah tidak boleh berjaga sebab
esoknya dia perlu bekerja. Letrik dibekalkan dengan menggunakan generator, hanya
dari pukul 7 malam ke 7 pagi. Mahal pulak tu (RM20 sebulan). Bilik air,
berdindingkan zink yang sedikit berlubang dan beratapkan langit. Jika hendak ke
mana-mana, perlu menaiki kenderaan awam tapi bukan teksi sebab mahal. Bila nak
balik kampung masa Hari Raya, kami selalu kena beratur panjang mengelilingi
Pudu Raya untuk menaiki bas SKS ke Seremban. Penat.
Masa kecil, saya jarang dapat menikmati
makanan kegemaran saya iaitu kek, coklat atau minum susu coklat… dan tak pernah
mimpi nak duduk hotel atau menaiki kapal terbang atau pergi bercuti, apa lagi
ke luar negara. Yang saya ingat sampai sekarang, mak akan memantau dengan ketat
waktu belajar saya. Jika hendak keluar bermain, perlu mematuhi syarat iaitu
hafal sifir sekian-sekian terlebih dahulu, atau hafal lain-lain perkara dan mak
akan soal semula. Jika lulus, barulah saya dibenarkan keluar bermain. Terima
kasih mak, kalau tidak…. tak tahulah saya jadi apa sekarang ni.
Saya tiada adik beradik lain. Sayalah yang sulung,
sayalah yang bongsu. Tapi saya bukanlah intan payung mak dan arwah abah. Selalu
aje kena marah. Saya selalu rasa bosan sebab tiada adik beradik. Makanya,
setiap kali cuti sekolah, saya akan tinggal di rumah saudara mara saya.
Saya memulakan persekolahan di sebuah tadika
kemas di kawasan setinggan tersebut. Yang paling saya ingat sekali, seorang
budak lelaki bernama Azry sangat suka tarik rambut saya yang panjang. Nakal
sungguh dia. Tapi, alhamdulillah… sekarang dia tak nakal dah…. Dah jadi orang
tabligh.. J
PERINGKAT
KANAK-KANAK PERTENGAHAN
Saya bersekolah rendah di Sekolah Kebangsaan
Kampung Dato’ Keramat (2), sebuah sekolah yang kecil dan padangnya pun sangat
kecil. Alhamdulillah, disebabkan kawalan ketat mak terhadap pelajaran saya,
saya sentiasa berada di kelas pertama setiap tahun.
Ada beberapa orang cikgu yang masih kekal
dalam ingatan saya. Seorang cikgu yang melayan saya seperti anaknya, seorang
cikgu yang pilih kasih terhadap murid-muridnya, seorang cikgu wanita yang tidak
berpuasa di bulan puasa dengan alasan gastrik (tetapi dia tidak makan
sorok-sorok), seorang guru lelaki yang suka suruh saya buat itu dan ini,
seorang guru Bahasa Inggeris yang garang dan seorang ustazah yang suka cakap
`ye ke?’.
Arwah abah juga seorang yang `strict’. Saya
tidak dibenarkan langsung untuk keluar bersama kawan-kawan, malahan mohon
keluar ke Perpustakaan Negara pun tak boleh. Bila dewasa dan memiliki anak
sendiri, baru saya faham kenapa arwah abah bersikap sedemikian. Yang paling
bagus pun, saya dibenarkan mengikuti rombongan sekolah ke Tugu Negara, Muzium
Negara, Zoo Negara dan Selangor Pewter. Itulah, sekali.
Selepas berakhirnya persekolahan darjah 6,
sekolah ada menganjurkan lawatan ke Pulau Pinang dan saya sangat teruja untuk
mengikutinya. Tetapi, sebagaimana yang dijangkakan, arwah abah tidak
membenarkan saya pergi. Ketika itu, saya sungguh berjauh hati kerana saya tidak
pasti bila lagi dapat bersama-sama lagi dengan kawan-kawan sekolah rendah. Ini
kerana, saya akan berpindah ke rumah yang lebih sempurna di Wangsa Maju. Ini
bermakna saya juga tidak akan bersekolah menengah bersama-sama mereka lagi.
Tapi, saya anak yang baik dan menurut perintah. Saya redha dalam kesedihan….
PERINGKAT
REMAJA
Saya berpindah ke Wangsa Maju pada penghujung
tahun 1986. Rasa sangat seronok kerana sudah ada bilik sendiri, bekalan air dan
letrik yang sempurna, bilik air berdinding dan beratapkan batu, tetapi masih
menggunakan kenderaan awam untuk ke mana-mana. Saya menyambung persekolahan di
Sekolah Menengah Puteri Titiwangsa dan perlu menaiki bas untuk ke sekolah.
Selepas keputusan SRP diumumkan, saya
bersekolah di Sekolah Menengah Sains Teluk Intan. Waaaahhhh… seronok sungguh
rasanya sebab saya dikelilingi ramai kawan. Alhamdulillah, saya tiada masalah
untuk menyesuaikan diri dan sahabat-sahabat baru juga semuanya baik-baik.
Sementara menunggu keputusan SPM, saya
bekerja sebagai guru taska, bertanggungjawab untuk menguruskan bayi berumur 4
bulan sehingga kanak-kanak berumur 5/6 tahun. Haaa… jangan ingat saya anak
tunggal, tak mampu untuk menguruskan mereka. Apabila keputusan SPM diumumkan,
saya berhenti kerja dan mula mengisi borang kemasukan ke universiti-universiti
tempatan.
Saya mengikuti kursus Diploma in Banking di
ITM Melaka pada tahun 1992. Alhamdulillah, keputusan peperiksaan
memberangsangkan dan saya telah ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran di luar
negara. Arwah abah izinkan saya pergi tetapi saya lebih suka melanjutkan
pelajaran di ITM juga. Maklumlah, ITM dihatiku… J. Akhirnya, saya meneruskan pengajian di UiTM
Shah Alam, kursus Kewangan.
PERINGKAT
DEWASA AWAL
Sebaik sahaja menamatkan peperiksaan akhir
(iaitu pada Mei 1997) saya mendapat tawaran pekerjaan di beberapa buah
syarikat. Saya memilih untuk bekerja sebagai pegawai pemasaran dan kredit di
sebuah syarikat Jepun, iaitu Showa Leasing (M) Sdn. Bhd. Kenapa saya memilih
syarikat tersebut? Sebab syarikat itu tidak bekerja pada hari Sabtu (pada masa
dahulu, Sabtu juga merupakan hari bekerja). Rasa bersyukur sangat sebab saya
masih diberi peluang untuk bekerja walaupun ekonomi Malaysia dalam keadaan yang
sangat gawat ketika itu.
Sebaik mendapat pekerjaan, saya telah melangsungkan
perkahwinan dengan jejaka pilihan hati, Muhammad Suhaimi bin Baharuddin pada 2
Ogos 1997. Selepas bekerja dan berkahwin, barulah saya menikmati sesuatu yang
tidak pernah saya mimpikan dahulu…. Makan kek, coklat dan minum susu coklat
sesuka hati, duduk di hotel dan menaiki kapal terbang, pergi bercuti dalam dan
luar negara. Syukur, alhamdulillah. Semasa kandungan pertama berusia 7 bulan,
arwah abah telah pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya. Arwah tak sempat
melihat cucu sulungnya.
Dengan keadaan ekonomi dunia yang semakin
lama semakin gawat, akhirnya syarikat Jepun tempat saya bekerja terpaksa
melaksanakan retrenchment. Syarikat
sudah berhenti dari menjalankan aktiviti utamanya (iaitu memberikan pinjaman
melalui kaedah leasing dan hire purchase) dan hanya fokus pada credit collection sahaja. Maka,
perkhidmatan saya tidak lagi diperlukan dan akhirnya saya berhenti setelah 4
tahun bekerja di situ.
Walau bagaimanapun, saya memang kagum dengan
pihak pengurusan Showa kerana mampu bertahan dalam tempoh yang lama dan tidak
pernah lewat membayar gaji pekerja. Beberapa cawangan di luar negara sudah lama
memberhentikan operasi kerana menerima kesan yang teruk. Saya menganggur selama
2 tahun dan dalam pada itu, dikurniakan seorang lagi cahayamata perempuan pada 12
Mac 2002. 13 November 2004, kami dikurniakan cahayamata ketiga (yang juga
perempuan).
Alhamdulillah, saya mendapat pekerjaan di
Lembaga Akreditasi Negara (LAN) pada Februari 2003 yang kini dikenali dengan
nama Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). Saya bertugas sebagai Pengurus Akreditasi
yang bertanggungjawab untuk memproses permohonan Keluusan, Standard Minimum dan
Akreditasi. Setelah 5 tahun, saya bertukar ke Unit Latihan (untuk tempoh 2
tahun) dan seterusnya bertugas di Unit Perkhidmatan dan Perjawatan sehingga
kini. Di sinilah tempat saya mencari rezeki ketika ini. Bulan Februari 2013
nanti, genaplah perkhidmatan saya 10 tahun di MQA.
Pada tahun 2011, saya telah mendapat tawaran
Hadiah Latihan Persekutuan untuk menyambung pelajaran di peringkat Sarjana. Syukur
ke hadrat Ilahi ke atas rezeki yang dikurniakan. Saya telah diluluskan Cuti
Belajar Bergaji Penuh sepanjang tempoh pengajian.
“Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat
Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?” – Ar Rahman, ayat 13.







